Tuesday, December 12, 2017

Apakah 'Visual Therapy' @ Terapi Penglihatan ?




Bila sebut perkataan Terapi, ada orang terbayang anggota badan diurut-urut. Ada juga yang bayangkan bau-bauan wangi bunga. Ada juga mengaitkan terapi dengan sesi kaunseling.

Tapi, apa sebenarnya maksud terapi? Jom 'Google search' sikit..

Jawapan : Terapi adalah rawatan suatu penyakit fizikal atau mental secara proses pemulihan tanpa penggunaan ubat atau pembedahan (sumber website Dewan Bahasa dan Pustaka)

Ya. Kaedah rawatan tanpa ubat dan tanpa bedah. (Yang takut doktor dan tak suka ubat, ini adalah berita gembira!)

Walaupun ada antara kita yang tidak kisah makan ubat dan suka sahaja jumpa doktor, jangan salah anggap pula.

Terapi adalah alternatif rawatan untuk banyak perkara. Secara fizikal mahupun emosi dalaman kita.
Mungkin ada antara kita pernah dengar :

+ Aromaterapi (Aromatherapy)
Kaedah ini menggunakan minyak semula jadi diambil dari bunga, kulit kayu, daun dan akar tumbuhan. Bau aromanya dipercayai boleh menenangkan fikiran malah mengubati beberapa jenis penyakit. Rasa lega jika hidung dapat bau contohnya lemon dan lavender.

+ Fisioterapi (Physiotherapy)
Cara ini bantu kembalikan fungsi dan pergerakan anggota badan seseorang selepas kemalangan atau penyakit tertentu. Dan juga kurangkan rasa sakit di mana-mana bahagian tubuh (berkaitan kawasan tulang).

Contohnya, latihan tangan atau kaki digerakkan dengan cara khas. (Kalau tersalah cara, boleh menjerit orang tu). Ia juga boleh bantu kurangkan risiko kecederaan pada masa akan datang.

Paling saya mahu cerita dalam artikel ini adalah..

+ Visual Therapy (VT) @ Terapi Optomedik

Tidak terkecuali bagi masalah penglihatan. Diberi pakai cermin mata sahaja, belum tentu dapat atasi masalah sebenar. Ada cara lain turut membantu.

Untuk pengetahuan tambahan, sesetengah negara memanggil kaedah ini sebagai 'Visual Training'. (Latihan Penglihatan).

Mungkin ramai antara kita yang masih belum tahu tentang hal ini.

Di Australia, UK, US dan New Zealand merupakan antara negara terawal guna kaedah VT dalam rawatan penglihatan. Tidak hanya bergantung pada cermin mata yang biasa sahaja.

Ada beberapa kes masalah melihat, perlu pemeriksaan lanjut. Belum tentu cermin mata sahaja adalah rawatan terbaik. Ada yang lebih baik.

Cara untuk bantu penggunaan mata dengan lebih efektif adalah melalui latihan visual terapi @ Terapi Optomedik.

Terapi Optomedik khasnya lebih kepada aktiviti fizikal. Ia akan beri kesan positif kepada mata dengan cara merangsang sistem visual individu tersebut.

Hasilnya nanti, mata bekerja dengan lebih baik. Mata melihat dengan lebih selesa. Malah, prestasi kerja atau pembelajaran bertambah cemerlang.

Info tambahan : Bahagian visual kita, iaitu pandangan atau dunia yang kita nampak ini sebenarnya terletak di bahagian otak (Bahagian belakang kepala, hampir dengan leher).

Ya, kita lihat di otak, bukan di mata. Walaupun mata kita luaran nampak sihat, tetapi jika ada masalah otak pada bahagian tersebut, penglihatan kita turut terganggu.

Aktiviti dalam sesi terapi akan disusun ikut kepada jenis isu yang dihadapi oleh seseorang. Sedikit berbeza teknik terapi bagi kes yang berlainan.

Masalah penglihatan sama ada berpunca:

1) Tidak dapat guna mata secara berpasukan (Vergence Dysfunction)

- Ingat, mata kita normal ada dua. Mata kiri dan kanan. Ada sesetengah individu, adakala mereka hanya guna satu mata sahaja untuk melihat. Ini terjadi tanpa mereka sedar. Tiba-tiba sahaja jadi. Kadangkala pula tu.

Segelintir kecil, ada juga yang sedar. Ini sudah di tahap kita gelar Juling. Jika sudah di tahap ini, biasanya saya jumpa, keyakinan diri mereka semakin rendah. Bila bercakap, suara rendah dan lemah sahaja. Berasa sudah tidak yakin dengan diri sendiri.

Namun, Terapi Optomedik boleh bantu agar otot kembali kuat mengawal pergerakan mata. Ada caranya.

2) Skill fokus mata tidak cekap (Accommodation Dysfunction)

- Skill fokus penting agar apa kita lihat kekal nampak jelas. Jika tidak cekap, apa akan jadi? Apa yang dilihat, hanya sementara sahaja jelas.

Sekejap nampak jelas, sekejap lagi bertukar kabur. Nanti bila dipejam mata, elok balik. Berulang kali kerap berlaku. Boleh naik angin juga kalau asyik macam tu.

3) Sensitiviti mata di tahap rendah
(Amblyopia @ Lazy eyes)

- Kes sebegini ada beberapa punca. Saya ada tuliskan dalam artikel sebelum ini. .

Jika dikesan awal, menurut kajian lebih mudah untuk dirawat. Terutamanya 10 tahun ke bawah.

Bukan bermakna orang dewasa tidak boleh dirawat. Boleh, namun biasanya lebih panjang sedikit tempoh rawatannya.

Seperti mana kisah benar seorang 'Neuroscientist' bernama Sue Barry. Usia yang sudah mencecah 30 tahun ke atas bukan penghalang bagi membetulkan masalah penglihatan.

Bagaimana beliau berjaya menggunakan kembali kedua mata? Kisah ini ada beliau tulis dalam bukunya yang bertajuk 'Fixing My Gaze'.

Kerana otak kita mempunyai kebolehan yang dipanggil 'Neuroplasticity'. Otak boleh berubah dan belajar perkara baru disebabkan ransangan dan latihan tertentu. Tidak kira peringkat umur. Daripada muda hinggalah ke peringkat matang.

Perlu ingat, Terapi Optomedik merupakan latihan mata (dan otak) bagi menghasilkan penglihatan yang lebih baik dari sebelumnya. Walaupun ada sesetengah kecil, selepas dibuat rawatan terapi, hasilnya tidak sebaik orang lain.

Ia benar-benar bergantung atas kemampuan individu juga. Latihan diberi sebanyak mana pun, yang penting adalah motivasi kita. Dari awal perlu percaya dan positif ada cara untuk dibantu.

Bukan sekadar dari pihak individu yang ada kes mata tersebut, malah ahli keluaga, ibu bapa dan juga Optometris yang mengendalikan latihan Terapi Optomedik.

InshaaAllah, tiada yang sia-sia dalam mencari sebuah ikhtiar :)

Hanun Nadiah Rozi
Optometris

Graduated in 2015
University Of Bradford, UK

Kini di Meru Raya, Ipoh
Hubungi : 019-4727963

#TerapiOptomedik
#VisualTherapy

No comments:

Post a Comment

Apakah Punca Anak Susah Belajar Hinggkan Buku Jadi 'Halimunan'?

Saringan Penglihatan Pelajar Pendidikan Khas di SMK Tasek Damai,Ipoh "Cikgu, mari dekat sikit, saya nak tunjuk sesuatu"...